Selasa, 10 Mei 2011

Kesan Pencemaran Air Terhadap Manusia

Pendedahan media massa serta aduan awam mengenai isu pencemaran seperti perparitan, sungai, laut dan air amat membimbangkan kita.
Kita sering digemparkan dengan penyakit-penyakit seperti demam denggi, chikungunya, meliodosis, leptospirosis dan pelbagai jenis penyakit lain. Peningkatan masalah ini merupakan petunjuk bahawa amalan kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah masyarakat.




Sejak sekian lama segala keindahan dan kedamaian alam terutama sungai semakin pudar serta dinodai mengikut hawa nafsu yang dicemari oleh tangan-tangan manusia.

Disebabkan sifat segelintir golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab, maka kita masih menghadapi pelbagai masalah pencemaran sungai.
Pencemaran bukan sahaja berpunca daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak mesra alam, tetapi juga berpunca daripada aktiviti-aktiviti penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sepanjang sungai. Mereka menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah-sarap. Pencemaran ini bukan sahaja mengakibatkan ketidakselesaan, tetapi juga boleh memudaratkan kesihatan, khususnya kepada penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang sungai yang tercemar.




Jika dipandang daripada arus pemodenan dan kecanggihan teknologi, sepatutnya individu yang berakal atau cerdik sekurang-kurangnya dapat memainkan peranan menjaga alam sekitar. Sebaliknya masih terdapat ramai individu yang tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang dengan membuang sampah di merata-rata tempat.



Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, maka selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Sikap seperti inilah yang perlu dikikis agar ia tidak menjadi ikutan kepada generasi akan datang. Peliharalah sungai ini dengan bertindak mulai sekarang sebelum terlambat.



Langkah perubahan sikap serta anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak dan masyarakat supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat. Ingatlah sungai yang bersih dapat menjamin kehidupan yang selesa, sihat dan bersih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan