Selasa, 10 Mei 2011

Langkah-langkah Mengatasi Pencemaran Air

Antara cara - cara untuk mengatasi krisis pencemaran air ini ialah dengan :
             
1. Menyediakan Tangki Takungan Bawah Tanah Yang Dirawat
        
~ Untuk mengatasi masalah pelepasan air buangan domestik supaya tidak dilepaskan terus ke dalam sistem perparitan maka adalah perlu disediakan tangki takungan bawah tanah dan dirawat menggunakan bioteknologi selaras dengan usaha negara menjadikan Malaysia sebagai pusat bioteknologi rawatan air (Utusan Malaysia, 2006).
Malah, pihak kerajaan seharusnya memperuntukkan sejumlah wang supaya sistem perparitan daripada kawasan perumahan terutama kawasan perindustrian dan juga pengusaha kedai makanan perlu dibina saluran paip khas supaya air buangan dapat dikumpulkan di kolam takungan sebelum disalirkan ke dalam sistem perparitan.
   
2. Pemasangan Perangkap Sampah

        
~ Untuk mengatasi sampah sarap dialirkan oleh air melalui longkang, adalah perlu supaya perangkap sampah dipasang di tempat-tempat strategik di sepanjang parit utama untuk memerangkap sampah sarap juga memudahkan pengurusan penyelenggaraan.
  
3Penyelenggaraan Sistem Perparitan Berkala
        
~ Untuk memastikan supaya sampah sarap tidak menyebabkan sistem perparitan tidak tersumbat maka penyelenggaraan berkala seharusnya dijalankan iaitu 1 atau 2 kali sebulan. Dengan cara ini, maka sampah sarap tidak akan menyebabkan sekatan air sekali gus sampah tidak terlepas ke sistem saliran utama di sungai.
    
4. Kempen kesedaran melalui iklan TV
   
                                      

~ Untuk mengatasi masalah sikap kebanyakan penduduk yang bersikap 'tidak apa' perlu ditangani. Kempen kesedaran melalui Iklan TV mengenai kesan sikap individu yang membuang sampah tanpa memikirkan kesannya perlu disiarkan setiap masa.

Hargai Kepentingan Air


Hampir 70 peratus daripada keseluruhan tubuh manusia mengandungi air. Oleh itu, kita disarankan mengambil antara 8 hingga 10 gelas air sehari. Pengambilan air yang mencukupi amat penting bagi tubuh manusia untuk mengenyah toksik dalam badan, melincirkan sendi, membantu sistem dan organ pencernaan, mengawal suhu badan serta menghantar nutrien dan oksigen ke sel-sel badan.


Air yang bersih dapat meningkatkan sistem imunisasi badan, menggalakkan metabolisme sel, mengurangkan risiko penyakit dan pertumbuhan sel abnormal serta dapat menghalang penyebaran toksin.

Walau bagaimanapun, air yang kita minum pada hari ini semakin tidak selamat berikutan daripada pencemaran sumber air yang semakin teruk. Pencemaran air ini berlaku apabila terdapat perubahan dari segi kandungan, keadaan, warna dan kualiti sehingga menyebabkan ia tidak sesuai diminum dan memberi kesan buruk kepada kesihatan. 


Suatu ketika dahulu, masyarakat tidak menghargai bekalan air bersih yang sememangnya mencukupi, malah melebihi untuk menampung kegunaan seharian. Tetapi pada hari ini, air dikhuatiri menjadi satu komoditi penting berikutan kekurangan sumber air serta peningkatan kos rawatan air. 

Air adalah satu sumber yang bernilai tetapi kita terus mengeksploitasikannya. Sehingga kini, banyak yang telah diperkatakan, dibincangkan serta ditulis mengenai air. Namun, kebanyakan daripada kita masih kurang menghargainya.

Kita sudah tentu berasa jijik dan loya apabila melihat pelbagai sampah membusuk di dalam longkang, membuatkan pengaliran air longkang tersumbat. Pantai-pantai dipenuhi sampah sarap yang menjengkelkan dan punca utamanya ialah manusia itu sendiri. Sesetengah kilang akan memperuntukkan kawasan untuk pembuangan sisa-sisa kilang. Namun, masih ada segelintir kilang yang secara terus menyalurkan sisa buangan ke dalam sungai. 

Selain itu, pencemaran air juga menjadi punca kepada banjir yang berlaku di dunia pada masa kini. Antaranya, disebabkan oleh tersumbatnya parit yang sepatutnya mengalirkan air ke laut ataupun sungai. Apabila sampah sarap menyumbatkan aliran air tersebut, banjir mudah berlaku dan menyebabkan persekitaran kotor apabila banjir tersebut berlaku.

Sumber Air Dirawat Bagi Pastikan Kualiti Air Kepada Pengguna

                                                     

Kita cenderung menggunakan air permukaan seperti sungai sebagai air mentah. Namun air permukaan mudah tercemar dan perlu dirawat. Untuk memeriksa kualiti air mentah, banyak parameter yang perlu dilihat seperti kekeruhan, kekabutan air, warna, keasidan (pH), bakteria, logam dan pencemaran (kimia). Jika air tersebut bersih, kadar kekeruhannya rendah, manakala jika air tersebut kotor, kadar kekeruhan adalah tinggi terutama jika hujan lebat dan tanah runtuh. 

Langkah pertama dalam proses rawatan air ialah penapisan. Penapisan diletakkan di tempat kemasukan air yang diambil daripada sumber air seperti sungai dan berfungsi untuk menyingkirkan objek/sampah besar di dalam sungai bagi mengelakkan masalah tersumbat dan kerosakan di stesen pengepam atau Loji Perawatan Air. Tempat kemasukan ialah struktur yang mengumpulkan dan memasukkan air dari sungai, terusan atau empangan ke Loji Perawatan Air. Bagi proses sebelum perawatan, penapis halus digunakan menghalang daun-daun kecil atau zarah daripada menyumbat peralatan di dalam loji.
Sekiranya air mentah terlalu kotor, lembangan sebelum pengenapan (empangan) boleh digunakan untuk membolehkan zarah yang terlalu berat (seperti pasir) enap sebelum proses utama bermula. Terdapat elemen yang tidak dikehendaki di dalam air seperti masalah warna, bau dan rasa yang disebabkan oleh logam seperti besi dan mangan. Bahan-bahan ini boleh disingkirkan melalui pengoksidaan iaitu mewujudkan turbulens agar air dan udara boleh bercampur. 

Bagi proses rawatan air pula merangkumi pengklorinan, pembauran, penggumpalan, pengelompokan, pemendapan dan penurasan. Klorin akan ditambah mengikut kesesuaian (had) untuk mengawal masalah rasa, bau serta mengawal pertumbuhan alga dalam loji perawatan. Kapur dimasukkan untuk menyesuaikan keasidan air supaya proses perawatan lebih berkesan. Bahan gumpal dimasukkan bagi membentuk zarah yang besar dan berat untuk enap (disingkirkan). 

Pengelompokan oleh polimer dapat menggabungkan zarah semasa penggumpalan dan disingkirkan. Pemendapan berlaku di dalam tangki besar, di mana air mengalir perlahan dan kelompok mempunyai waktu untuk tenggelam ke bawah. Air yang bersih dan jernih dikeluarkan dari tangki. Turas di loji perawatan air mengandungi lapisan pasir. Zarah yang kecil tidak dapat melalui turas kerana melekat pada pasir. Zarah yang melekat pada pasir akan terungkai dan timbul ke permukaan. Air ini dikumpulkan dan menjadi air sisa. Air berturas melalui dua peringkat perawatan sebelum sampai ke tangki air jernih.

Selepas perawatan, proses pengenyahjangkitan dilakukan bagi membunuh organisma yang boleh menyebabkan penyakit dengan penambahan klorin. Kemudian, air akan memasuki ke tangki air jernih. Kapur ditambah semula untuk menyesuaikan keasidan air bagi mengelakkan hakisan pada struktur dan tali paip hiliran. Terakhir, fluorida ditambah (jumlah kecil) dalam air terawat untuk mencegah dan mengurangkan kerosakan gigi.

Semua peringkat yang terlibat di dalam proses rawatan air daripada pengambilan kepada penyimpanan-penyimpanan air dan mutu kualiti dapat memastikan air yang diproses oleh setiap syarikat berkaitan akan memastikan agar pelanggan dapat menerima air yang berkualiti tinggi serta kuantiti yang mencukupi.

Kesan Pencemaran Air Terhadap Manusia

Pendedahan media massa serta aduan awam mengenai isu pencemaran seperti perparitan, sungai, laut dan air amat membimbangkan kita.
Kita sering digemparkan dengan penyakit-penyakit seperti demam denggi, chikungunya, meliodosis, leptospirosis dan pelbagai jenis penyakit lain. Peningkatan masalah ini merupakan petunjuk bahawa amalan kebersihan tidak diambil peduli oleh sesetengah masyarakat.




Sejak sekian lama segala keindahan dan kedamaian alam terutama sungai semakin pudar serta dinodai mengikut hawa nafsu yang dicemari oleh tangan-tangan manusia.

Disebabkan sifat segelintir golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab, maka kita masih menghadapi pelbagai masalah pencemaran sungai.
Pencemaran bukan sahaja berpunca daripada aktiviti-aktiviti ekonomi yang tidak mesra alam, tetapi juga berpunca daripada aktiviti-aktiviti penduduk-penduduk kampung yang tinggal di sepanjang sungai. Mereka menjadikan sungai sebagai tempat pelupusan sampah-sarap. Pencemaran ini bukan sahaja mengakibatkan ketidakselesaan, tetapi juga boleh memudaratkan kesihatan, khususnya kepada penduduk-penduduk yang tinggal di sepanjang sungai yang tercemar.




Jika dipandang daripada arus pemodenan dan kecanggihan teknologi, sepatutnya individu yang berakal atau cerdik sekurang-kurangnya dapat memainkan peranan menjaga alam sekitar. Sebaliknya masih terdapat ramai individu yang tidak bertanggungjawab tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang dengan membuang sampah di merata-rata tempat.



Selagi tahap kesedaran terhadap kebersihan sungai tidak dapat diwujudkan, maka selagi itulah segala usaha untuk memulihkan sungai tidak akan berkesan. Sikap seperti inilah yang perlu dikikis agar ia tidak menjadi ikutan kepada generasi akan datang. Peliharalah sungai ini dengan bertindak mulai sekarang sebelum terlambat.



Langkah perubahan sikap serta anjakan minda seharusnya digiatkan terhadap semua pihak dan masyarakat supaya sungai kekal bersih dan boleh digunakan dengan selamat. Ingatlah sungai yang bersih dapat menjamin kehidupan yang selesa, sihat dan bersih.

Khamis, 5 Mei 2011

Punca Pencemaran AIR...


  Cuba bayangkan perasaan anda apabila melihat sampah terapung di sebuah sungai, tempat anda sering memancing ikan. Kadang kala, apabila sungai tercemar dengan bau busuk dan berlumpur, anda akan merasa jijik untuk lalu di kawasan tersebut. Apatah lagi untuk berenang mahupun minum air yang kotor itu. 

  Air yang tercemar tidak selamat untuk diminum. Haiwan serta tumbuhan juga akan mati apabila menggunakan air yang tercemar itu. Begitu juga air yang kelihatan bersih dan tidak berbau, juga boleh tercemar. Ini mungkin disebabkan oleh kuman atau bakteria serta bahan kimia berbahaya yang tidak boleh dilihat atau dihidu.

  Terdapat pelbagai jenis pencemaran air seperti bahan toksik, bahan organik, pencemaran terma serta pencemaran ekologikal.  Bahan toksik ialah sejenis pencemaran berbentuk kimia yang tidak terhasil dalam sistem akuatik. Penyumbang terbesar pencemaran ini ialah racun rumpai, racun serangga dan bahan buangan industri.
  Pencemaran organik berlaku apabila lebihan bahan organik seperti baja dan kumbahan memasuki air. Apabila bahan organik meningkat, jumlah bahan reput akan meningkat dan menggunakan banyak oksigen. Ini mengakibatkan berlakunya masalah kekurangan oksigen, yang seterusnya boleh membunuh hidupan akuatik.

  Pencemaran bahan bukan organik seperti nitrogen dan fosfat di dalam sistem akuatik boleh menyebabkan sejenis pencemaran organik. Kandungan bahan ini yang tinggi menyebabkan berlaku peningkatan jumlah tumbuhan dan rumpair. Apabila tumbuhan dan rumpair mati, ia akan menjadi bahan organik di dalam air. Seterusnya ia akan mereput dan mampu mengurangkan kadar oksigen di dalam air.

  Pencemaran terma berlaku apabila air digunakan sebagai bahan penyejuk berdekatan kilang industri dan kemudiannya kembali kepada persekitaran akuatik dengan kadar suhu yang lebih tinggi. Ini boleh menyebabkan berlakunya pengurangan kadar oksigen di dalam air dan meningkatkan kadar keperluan biologikal oleh organisma akuatik untuk mendapatkan oksigen.

  Pencemaran ekologikal pula terjadi apabila pencemaran bahan kimia, pencemaran organik atau pencemaran terma berlaku daripada persekitaran alam. Ia bukannya berlaku akibat aktiviti manusia. Pencemaran ekologikal akan meningkat selepas berlakunya kejadian tanah runtuh, haiwan dan tumbuhan yang mati lemas dalam banjir serta sejumlah besar bahan organik yang mengalir dalam air. Selain itu, kejadian geologikal seperti ledakan gunung berapi juga menyumbang kepada pencemaran ekologikal.

  Pengurusan air yang tidak cekap juga boleh menyebabkan berlakunya krisis air. Walaupun mengetahui kepentingan air dalam kehidupan, namun manusia sering mengabaikannya dengan melakukan pencemaran dan mengotorkan longkang, sungai, tasik dan laut. Manusia sebenarnya mengancam planet secara perlahan-lahan sehingga ke tahap organisma mulai mati pada kadar yang amat pantas. Lebih teruk lagi, air minuman yang amat penting untuk keperluan kehidupan juga mengalami pencemaran dengan serius.

Pencemaran Air??

Pencemaran air berlaku apabila perubahan berlaku dari segi kandungan, keadaan dan warna sehingga tidak sesuai dan memberi kesan apabila digunakan. Pencemaran berlaku sama ada dari segi biologi, kimia dan fizik. Pencemaran air bukan hannya berlaku di sungai tetapi juga di laut dan ianya boleh berlaku secara sengaja atau tidak. Pencemaran ini lebih kepada bahan pencemar dari kilang.


Air....

  Air ialah sumber penting terhadap manusia. Di bumi ini, terdapat 70% air. Air lebih banyak daripada dataran. Air yang diguna oleh kita ialah datang dari sungai dan dari laut.

 Air banyak kegunaan dalam kehidupan seharian manusia dan sangat penting untuk kehidupan. Lazimnya, air boleh diguna untuk mencuci baju selain bermandi. Jika tiada air, kawasan dan sekeliling kita akan menjadi kotor dan tidak bersih.




  Seperkara lagi, air juga dapat untuk kita minum. Tanpa air kita tidak tidak dapat hidup lama di dunia ini. Seorang dewasa meminum 8 gelas sehari. Sekiranya kita tidak minum air, kita akan jatuh sakit dan badan kita akan menjadi tidak sihat.

  Di samping itu, air juga dapat diguna untuk memandam api apabila berlaku kebakaran. Jika tiada air, rumah orang yang berlaku kebakaran akan kehilangan banyak harta. Kita boleh melihat kepentingan air melalui kehidupan seharian kita.

  
  Kesimpulannya, air sangat penting terhadap manusia tetapi malangnya ramai orang tidak menghargai air. Ramai yang mencemarkan air sungai dan membazirnya. Kita sebagai makhluk tuhan seharusnya menjaga kebersihan semula jadi supaya dapat dilihat oleh generasi yang akan datang...