Selasa, 10 Mei 2011

Sumber Air Dirawat Bagi Pastikan Kualiti Air Kepada Pengguna

                                                     

Kita cenderung menggunakan air permukaan seperti sungai sebagai air mentah. Namun air permukaan mudah tercemar dan perlu dirawat. Untuk memeriksa kualiti air mentah, banyak parameter yang perlu dilihat seperti kekeruhan, kekabutan air, warna, keasidan (pH), bakteria, logam dan pencemaran (kimia). Jika air tersebut bersih, kadar kekeruhannya rendah, manakala jika air tersebut kotor, kadar kekeruhan adalah tinggi terutama jika hujan lebat dan tanah runtuh. 

Langkah pertama dalam proses rawatan air ialah penapisan. Penapisan diletakkan di tempat kemasukan air yang diambil daripada sumber air seperti sungai dan berfungsi untuk menyingkirkan objek/sampah besar di dalam sungai bagi mengelakkan masalah tersumbat dan kerosakan di stesen pengepam atau Loji Perawatan Air. Tempat kemasukan ialah struktur yang mengumpulkan dan memasukkan air dari sungai, terusan atau empangan ke Loji Perawatan Air. Bagi proses sebelum perawatan, penapis halus digunakan menghalang daun-daun kecil atau zarah daripada menyumbat peralatan di dalam loji.
Sekiranya air mentah terlalu kotor, lembangan sebelum pengenapan (empangan) boleh digunakan untuk membolehkan zarah yang terlalu berat (seperti pasir) enap sebelum proses utama bermula. Terdapat elemen yang tidak dikehendaki di dalam air seperti masalah warna, bau dan rasa yang disebabkan oleh logam seperti besi dan mangan. Bahan-bahan ini boleh disingkirkan melalui pengoksidaan iaitu mewujudkan turbulens agar air dan udara boleh bercampur. 

Bagi proses rawatan air pula merangkumi pengklorinan, pembauran, penggumpalan, pengelompokan, pemendapan dan penurasan. Klorin akan ditambah mengikut kesesuaian (had) untuk mengawal masalah rasa, bau serta mengawal pertumbuhan alga dalam loji perawatan. Kapur dimasukkan untuk menyesuaikan keasidan air supaya proses perawatan lebih berkesan. Bahan gumpal dimasukkan bagi membentuk zarah yang besar dan berat untuk enap (disingkirkan). 

Pengelompokan oleh polimer dapat menggabungkan zarah semasa penggumpalan dan disingkirkan. Pemendapan berlaku di dalam tangki besar, di mana air mengalir perlahan dan kelompok mempunyai waktu untuk tenggelam ke bawah. Air yang bersih dan jernih dikeluarkan dari tangki. Turas di loji perawatan air mengandungi lapisan pasir. Zarah yang kecil tidak dapat melalui turas kerana melekat pada pasir. Zarah yang melekat pada pasir akan terungkai dan timbul ke permukaan. Air ini dikumpulkan dan menjadi air sisa. Air berturas melalui dua peringkat perawatan sebelum sampai ke tangki air jernih.

Selepas perawatan, proses pengenyahjangkitan dilakukan bagi membunuh organisma yang boleh menyebabkan penyakit dengan penambahan klorin. Kemudian, air akan memasuki ke tangki air jernih. Kapur ditambah semula untuk menyesuaikan keasidan air bagi mengelakkan hakisan pada struktur dan tali paip hiliran. Terakhir, fluorida ditambah (jumlah kecil) dalam air terawat untuk mencegah dan mengurangkan kerosakan gigi.

Semua peringkat yang terlibat di dalam proses rawatan air daripada pengambilan kepada penyimpanan-penyimpanan air dan mutu kualiti dapat memastikan air yang diproses oleh setiap syarikat berkaitan akan memastikan agar pelanggan dapat menerima air yang berkualiti tinggi serta kuantiti yang mencukupi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan